Penyatuan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Zon 3 Sungai Apin Perkukuh Perpaduan Masyarakat
SIMUNJAN: Pendekatan penyatuan sambutan Aidilfitri mengikut zon dilihat sebagai platform terbaik dalam memperkukuhkan silaturahim masyarakat, di samping memastikan penganjuran majlis dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan efisien.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata, penggabungan enam kampung di bawah satu zon bukan sahaja memudahkan aspek penganjuran, malah memberi ruang kepada kepimpinan untuk turun padang menyantuni penduduk secara lebih menyeluruh.
Menurut beliau, kekangan masa untuk mengunjungi setiap kampung secara berasingan dapat diatasi melalui pendekatan tersebut, sekali gus memastikan tiada komuniti yang terpinggir daripada perhatian wakil rakyat.
“Saya bersama YB Rodiyah amat menggalakkan agar konsep sebegini diteruskan pada tahun-tahun akan datang.
“Mungkin pada tahun 2027 nanti, kita boleh memperkenalkan sistem cabutan undi bagi menentukan kampung yang menjadi tuan rumah, sekali gus mengelakkan sebarang pertikaian dan memberi peluang adil kepada semua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Zon 3 Sungai Apin yang berlangsung di pekarangan Surau Darul Iman, Kampung Pantong Melayu, pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh isu pembangunan infrastruktur khususnya keperluan pembinaan sebuah dewan di Kampung Pantong Melayu yang masih belum dapat direalisasikan berikutan kekangan tapak tanah yang sesuai.
Jelasnya, peruntukan bagi projek tersebut sebenarnya telah tersedia sebelum ini, namun cadangan lokasi asal tidak mendapat kelulusan daripada Jabatan Tanah dan Survei.
“Saya berharap keenam-enam kampung di Zon 3 ini dapat memiliki kemudahan dewan masing-masing bagi memudahkan penganjuran aktiviti komuniti dalam suasana yang lebih selesa dan kondusif.
“Sehubungan itu, saya menyeru penduduk Kampung Pantong agar dapat mengenal pasti tapak yang bersesuaian supaya projek ini dapat dilaksanakan demi manfaat bersama,” tambahnya.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee; isteri Awla Dris, Napsiah Abang Kaderi, Pegawai Daerah Simunjan, Sanuyah Mohamad, Penghulu Abang Madehie Abang Junaidi, Ketua Kaum Kampung Pantong Melayu, Zamahari Razali, Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Simunjan, Kr. Mohammad Zaini Morshidi serta Timbalan Ketua PBB Cawangan Simunjan, Bojeng Ali.-EDISI UKAS