Projek Jalan Ulu Teru Pacu Akses Luar Bandar, Siap Dalam Tempoh 24 Bulan
ULU TERU: Usaha memperkukuh jaringan infrastruktur luar bandar terus diperkasa menerusi pelaksanaan projek menurap Jalan Ulu Teru, Tinjar yang dijangka membawa impak signifikan terhadap kesejahteraan penduduk setempat.
Projek bernilai RM45.2 juta itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan pembangunan yang inklusif serta seimbang antara kawasan bandar dan pedalaman.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pelaksanaan projek tersebut bakal memberi manfaat langsung kepada 31 rumah panjang selain memudahkan akses penduduk ke kemudahan asas seperti sekolah dan klinik.
“Projek ini akan memberi manfaat kepada 31 rumah panjang serta memudahkan akses ke sekolah dan klinik di kawasan ini,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek berkenaan di Tinjar, pada Ahad.
Menurut beliau, projek sepanjang 23.4 kilometer itu dijadualkan siap dalam tempoh 24 bulan dan dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan mobiliti serta aktiviti sosioekonomi penduduk luar bandar.
Dalam masa sama, beliau menggesa pihak kontraktor agar memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar serta menepati jadual yang telah ditetapkan.
Beliau turut menegaskan bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) kekal sebagai pemacu utama pembangunan negeri, khususnya dalam menyediakan infrastruktur asas berkualiti demi meningkatkan taraf hidup rakyat di kawasan pedalaman.
Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap ADUN Sadong Jaya, Datuk Ir. Aidel Lariwoo, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Cassidy Morris, Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Chiew Chee Yau serta Residen Bahagian Miri, Galong Luang.-EDISI UKAS