Perubatan Tradisional Cina Cipta Rekod MBOR Di Kuching
KUCHING: Perubatan Tradisional Cina mencatat kejayaan luar biasa apabila seramai 1,041 pesakit berjaya dirawat dalam tempoh sehari, sekali gus mencipta pengiktirafan dalam ‘Malaysia Book of Records’ (MBOR).
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng berkata, pencapaian tersebut mencerminkan komitmen tinggi pengamal perubatan tradisional Cina dalam menyampaikan perkhidmatan kesihatan secara sukarela kepada masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Menurut beliau, seramai 100 pengamal perubatan dari dalam dan luar negara telah berganding bahu menjayakan klinik amal tersebut yang bermula seawal jam 8 pagi hingga lewat petang, dengan semua rawatan diberikan secara percuma.
“Jadi, saya rasa inilah perkara yang kita dapat lihat, bahawa sifat belas ihsan telah merapatkan jurang dalam sistem penjagaan kesihatan kita, serta memperlihatkan nilai keprihatinan dan kasih sayang,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penyerahan sijil pengiktirafan daripada wakil MBOR, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), pada Ahad.
Beliau menambah, sambutan menggalakkan itu turut memperlihatkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan perubatan tradisional sebagai pelengkap kepada rawatan moden, khususnya dalam pendekatan rawatan menyeluruh dan berterusan.
Dalam pada itu, pelbagai kaedah rawatan ditawarkan termasuk akupunktur dan urutan terapeutik, dengan pesakit melalui sistem giliran bagi mendapatkan rawatan berbeza daripada pakar yang terlibat.
“Di sini kita dapat lihat bahawa amal kebajikan bermula dari hati dan ia perlu dizahirkan melalui tindakan.
“Pada hari ini, mereka telah melaksanakan sepenuhnya usaha ini, malah tidak meninggalkan bilik ini sejak pagi hingga sekarang malah, terdapat dalam kalangan pakar yang telah merawat hampir 200 pesakit seorang,” ujarnya lagi. -EDISI UKAS