Rumah Terbuka Gong Xi Raya Eratkan Perpaduan Masyarakat Dalat
DALAT: Sambutan Rumah Terbuka Gong Xi Raya 2026 yang berlangsung di Kompleks Kebajikan Dalat, pada Ahad mencerminkan keutuhan perpaduan masyarakat berbilang kaum di daerah ini.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Dalam majlis tersebut, beliau turut meluangkan masa beramah mesra bersama penduduk setempat, di samping menzahirkan rasa syukur atas penganjuran program berkenaan dalam suasana penuh harmoni.
Menurutnya, penganjuran Rumah Terbuka Gong Xi Raya merupakan simbol keindahan perpaduan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya di Sarawak yang sentiasa diamalkan melalui semangat toleransi dan saling menghormati.
"Majlis ini bukan sekadar sambutan perayaan, sebaliknya menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan silaturahim serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat dan agensi yang terlibat," katanya ketika berucap.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama yang ditunjukkan oleh semua agensi penganjur membuktikan semangat kebersamaan yang tinggi walaupun masing-masing mempunyai komitmen dan tanggungjawab tersendiri.
Terdahulu, Dato Sri Fatimah telah menyempurnakan penyampaian sijil penghargaan kepada setiap agensi dan pihak yang terlibat dalam penyediaan reruai yang melibatkan sebanyak 17 reruai keseluruhannya sebagai tanda pengiktirafan atas komitmen serta kreativiti dalam memeriahkan sambutan tersebut.
Turut hadir Pegawai Daerah Dalat, Mathew Hubert, Temenggong Hendi Suhai, Pemanca Peter Lai Sakul, Penghulu Sim Tan Chuan dan Pengarah Urusan Sinong Pelita Plantation,
Dato’ Tan Chew Chin. - EDISI UKAS