TYT Sarawak Terima Kunjungan Hormat Delegasi JPM (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak)
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah menerima kunjungan hormat delegasi daripada Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) diketuai Menterinya, Datuk Ts. Mustapha Sakmud di kediaman rasmi beliau di sini pada Isnin.
Kunjungan tersebut menjadi platform pertemuan rasmi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak dengan pemerkasaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) antara perkara utama yang dibincangkan, sejajar dengan usaha berterusan memastikan hak dan kedudukan Sarawak terus dipelihara dalam kerangka Persekutuan Malaysia.
Pertemuan yang berlangsung lebih sejam itu turut menyentuh keperluan penyelarasan dasar antara kerajaan pusat dan negeri, khususnya bagi memastikan pelaksanaan agenda pembangunan dapat dilaksanakan secara terancang dan mengikut garis masa yang ditetapkan.
Selain itu, sesi pertemuan tersebut turut memberi ruang kepada perkongsian mengenai peranan dan tanggungjawab serta pengalaman Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi sepanjang berkhidmat dalam pelbagai jawatan di peringkat Persekutuan sebelum ini, yang menyumbang kepada pengukuhan hubungan dua hala.
Kunjungan hormat tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh kerjasama strategik, khususnya dalam memantapkan pelaksanaan MA63 dan agenda pembangunan negeri pada masa hadapan.
Turut hadir Setiausaha Persekutuan Sarawak Dato Ahmad Nazri Mohd Hassan serta barisan delegasi dari Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak). - EDISI UKAS