Kerja Naik Taraf Jalan Ulu Sungai Merah Tertangguh Akibat Cuaca Buruk
SIBU: Kerja naik taraf Jalan Ulu Sungai Merah, khususnya laluan dari Lorong 18 hingga Lorong 12, mengalami kelewatan susulan hujan berterusan yang menjejaskan proses penurapan asfalt di kawasan berkenaan.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, keadaan cuaca yang tidak mengizinkan ketika ini menyukarkan kerja-kerja penurapan dijalankan mengikut jadual asal.
"Bahagian jalan yang terjejas kini berada dalam keadaan siap sedia memandangkan cuaca hujan tidak sesuai untuk kerja-kerja penurapan asfalt.
“Sebaik sahaja keadaan cuaca bertambah baik, kontraktor akan segera menyambung semula kerja, menyiapkan lapisan asas batu dan meneruskan penurapan asfalt bagi memperbaiki keadaan jalan serta kelancaran trafik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan pada Ahad, bagi mengulas perkembangan projek naik taraf Jalan Ulu Sungai Merah di sini.
Datuk Michael Tiang menambah, dengan pembukaan semula sekolah minggu hadapan yang dijangka meningkatkan jumlah kenderaan, kontraktor digesa supaya mempercepatkan kerja penurapan dan meminta pengguna jalan raya supaya bersabar.
Beliau turut menegaskan bahawa projek berkenaan tidak dihentikan, sebaliknya diteruskan mengikut kesesuaian keadaan cuaca.
“Pasukan perkhidmatan akan terus memantau perkembangan projek dan memaklumkan orang ramai dari semasa ke semasa,” katanya. -EDISI UKAS