Industri Pembinaan Kapal Pacu Pertumbuhan Ekonomi Sarawak
SIBU: Kerajaan Sarawak mengiktiraf industri pembinaan dan pembaikan kapal sebagai sektor strategik yang mampu menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negeri, di samping membuka peluang pekerjaan serta memperkasa pembangunan kemahiran tenaga kerja tempatan.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, sektor maritim bukan sekadar menyumbang kepada angka ekonomi, malah berperanan memastikan sungai-sungai di Sarawak terus hidup dengan aktiviti industri dan inovasi.
“Kerajaan komited untuk menyokong pemain tempatan melalui dasar yang menggalakkan pertumbuhan, penyediaan infrastruktur yang menghubungkan serta keyakinan bahawa Sarawak mampu menjadi hab kecemerlangan maritim,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bot Tunda 28 Meter SML 105 dan Penyerahan Bot Tunda 28 Meter SML 103 di Tuong Aik Shipyard Sdn. Bhd. di sini, pada Isnin.
Datuk Michael Tiang menambah, kapal-kapal yang dibina merupakan hasil kemahiran anak Sarawak, tenaga kerja tempatan serta visi yang menjangkau melampaui perairan negeri ini.
Jelasnya, kapal tunda ini yang dilancarkan membawa bersama kebanggaan para pekerja, ketahanan industri dan mesej jelas bahawa Sarawak mampu membina, menghantar serta bersaing di peringkat global.
Beliau turut menghargai sumbangan para jurukimpal, jurutera, perancang, pasukan logistik dan semua individu yang menjayakan pembinaan kapal tersebut, sambil menyifatkan mereka sebagai tulang belakang sebenar ekonomi maritim Sarawak.
Dalam majlis sama, SML 103 diserahkan kepada rakan kongsi dari Indonesia, PT Transcoal Pacific, yang mencerminkan kerjasama rentas negara dalam industri maritim.
“Ini adalah wajah sebenar industri – membina kepercayaan, membina kualiti dan membina jambatan merentasi sungai serta merentasi negara,” katanya. -EDISI UKAS