UNIONS Sasar 180 Program Perkukuh Agenda Integriti Sarawak Tahun 2026
KUCHING: Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) menyasarkan pelaksanaan 180 program sepanjang tahun 2026 sebagai langkah strategik bagi memperkukuh agenda integriti, tatakelola dan akauntabiliti dalam perkhidmatan awam serta masyarakat di Sarawak.
Sasaran berimpak tinggi itu selari dengan aspirasi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang menekankan pembudayaan integriti sebagai teras utama pembangunan negeri, sejajar pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) yang berpaksikan kemakmuran inklusif, kecekapan penyampaian perkhidmatan dan pengukuhan keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan.
Dalam amanat sempena Majlis Perhimpunan bersama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Dato’ Murshid DiRaja Dr Juanda Jaya menegaskan agar seluruh warga UNIONS terus bertekad memikul amanah dengan komitmen, fokus dan profesionalisme, seiring peranan UNIONS sebagai institusi peneraju ekosistem integriti negeri.
Beliau turut menekankan pengamalan pendekatan 3R merangkumi 'Revisit' (menilai semula dasar, sistem dan pendekatan sedia ada), 'Rethink' (merangka kaedah baharu yang lebih inovatif dan berkesan) serta 'Recharge' (memperbaharui semangat, kapasiti dan iltizam warga kerja) bagi memastikan agenda integriti kekal relevan, dinamik dan berimpak tinggi.
Dengan perancangan tersusun dan iltizam berterusan, UNIONS diyakini akan terus menjadi pemacu utama pembudayaan integriti dan tadbir urus berkesan, sekali gus menyokong aspirasi besar Sarawak di bawah PCDS 2030.- EDISI UKAS