Kerajaan Sarawak Amal Prinsip Meritokrasi Dalam Pelantikan Jawatan
KUCHING: Kerajaan Sarawak mengamalkan prinsip meritokrasi dalam setiap pelantikan jawatan tanpa mengira jantina, dengan wanita diberi peluang sama rata selagi mempunyai keupayaan, kompetensi serta kualiti yang diperlukan, termasuk dalam bidang teknikal seperti kejuruteraan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menegaskan bahawa setiap jawatan atau tanggungjawab yang diberikan adalah berasaskan merit dan kemampuan individu untuk melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.
“Apa-apa jawatan atau tugas yang diberikan adalah berdasarkan merit. Jika seseorang mampu melaksanakan tanggungjawab, termasuk wanita. Ramai jurutera wanita di Jakarta membuktikannya.
"Saya pernah dijemput menghadiri taklimat projek Jambatan Limbang, dan taklimat itu disampaikan oleh seorang wanita. Selagi seseorang memiliki kualiti sebagai jurutera, jantina bukan halangan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi townhall anjuran TVS di Kuching pada malam Selasa.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, barisan menteri kabinet negeri dan Persekutuan, pemimpin masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).
Beliau menambah, pelantikan wanita ke jawatan penting dalam perkhidmatan awam, membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasa peranan wanita selaras dengan pendirian beliau yang tidak bersikap berat sebelah terhadap mana-mana jantina.
“Kami baru sahaja melantik seorang wanita sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak. Ini menunjukkan bahawa Kerajaan memberi peluang kepada wanita, selagi mereka tidak menghadapi sekatan. Jika wanita tersebut sudah berkahwin, pasangan tidak seharusnya cemburu, kerana tanggungjawab boleh dijalankan dengan baik.
"Bagi saya, tiada masalah, jika dia mampu, mengapa tidak? Saya tidak mempunyai sikap berat sebelah terhadap jantina dan mengikut dasar parti, peluang juga diberikan kepada wanita," katanya.
Townhall berkenaan dianjurkan sebagai platform komunikasi dua hala antara kepimpinan tertinggi negeri dan pemegang taruh, termasuk golongan belia, bagi membincangkan isu-isu semasa serta hala tuju pembangunan Sarawak secara menyeluruh dan inklusif.
Program yang disiarkan secara langsung menerusi TVS itu turut mengimbas perjalanan pembangunan Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dengan penekanan terhadap usaha memastikan pertumbuhan inklusif, daya tahan serta peluang yang dapat dinikmati oleh masyarakat di seluruh negeri.-EDISI UKAS