Tiada Pengumuman Nafikan Bantuan Kepada Mangsa Banjir Enggan Berpindah
BINTULU: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas menafikan dakwaan bahawa mangsa banjir yang enggan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tidak akan menerima bantuan wang ihsan.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menegaskan, tiada sebarang pengumuman sedemikian pernah dibuat dan perkara utama yang ditekankan oleh kerajaan negeri adalah kepentingan pemindahan bagi menjamin keselamatan nyawa penduduk terjejas.
“Saya tidak pernah mengumumkan bahawa mangsa yang tidak berpindah tidak akan mendapat bantuan.
“Apa yang saya tekankan adalah mereka yang perlu berpindah mesti berpindah demi menyelamatkan nyawa,” katanya kepada pemberita semasa lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir di Dewan Suarah Bintulu, pada Rabu.
Hadir sama semasa lawatan tersebut ialah Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Menurut beliau, situasi banjir di beberapa kawasan, termasuk di Sebauh, amat membimbangkan apabila terdapat rumah panjang yang dinaiki air sehingga ke paras bumbung, sekali gus menjadikan pemindahan sebagai satu keperluan mendesak.
“Dalam keadaan begini, penduduk tidak boleh kekal di rumah.
“Seperti yang berlaku di Kuching, walaupun ada mangsa enggan berpindah, mereka tetap diminta berpindah demi keselamatan,” katanya.
Mengulas isu pemberian bantuan kepada mangsa yang memilih untuk tidak berpindah kerana menjaga rumah dan harta benda, beliau berkata perkara itu masih boleh dipertimbangkan tertakluk kepada syarat tertentu.
Menurutnya, dalam keadaan tertentu, hanya dua atau tiga individu dibenarkan kekal sementara di rumah panjang bagi tujuan pemantauan, dengan pertimbangan dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat bahagian.
Beliau menambah, pihak polis juga telah diminta untuk membuat pemantauan rapi terhadap rumah panjang yang ditinggalkan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Tegasnya, sebarang keputusan berkaitan pemindahan dan pemberian bantuan akan dibuat berdasarkan keadaan sebenar di lapangan dengan mengambil kira aspek keselamatan dan kebajikan mangsa banjir.
Hadir sama Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap ADUN Samalaju Datuk Majang Renggi, ADUN Jepak Iskandar Turkee, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Felicia Tan Ya Hua, Residen Bahagian Bintulu Datu Nyurak Keti, Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak Abdul Wahab Rahim dan Pegawai Daerah Bintulu Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bohan. -EDISI UKAS