Persediaan Awal Sejak September Perkukuh Pengurusan Banjir Sarawak
BINTULU: Persediaan perancangan awal yang dilaksanakan sejak September tahun lalu membolehkan Kerajaan Sarawak mengurus dan menangani kesan banjir dengan lebih berkesan, meskipun berdepan ketidaktentuan cuaca.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, walaupun ramalan cuaca membantu dari segi masa, ketepatan lokasi hujan masih sukar dijangka, justeru persediaan awal menjadi keutamaan dalam menghadapi bencana.
Menurutnya, hasil lawatan ke beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) termasuk di Sebauh mendapati bantuan yang disalurkan adalah mencukupi dan tersusun, selain mangsa berpuas hati dengan kemudahan serta penempatan disediakan.
“Aspek kebajikan dan kesihatan mangsa turut diberi perhatian.
“Terdapat mangsa yang mempunyai masalah kesihatan seperti asma dan strok, dan kes ini telah ditangani dengan kerjasama pasukan perubatan serta Jabatan Kebajikan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatannya ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir di Dewan Suarah Bintulu, Rabu.
Tambah Datuk Patinggi Abang Zohari, bekalan makanan di PPS adalah mencukupi dengan pengagihan sehingga lima kali sehari, sekali gus memastikan keperluan asas mangsa terus terpelihara.
Beliau turut memaklumkan situasi banjir semakin pulih apabila sebanyak 56 daripada 66 PPS telah ditutup, manakala baki 10 PPS masih beroperasi dengan jumlah mangsa menurun kepada 1,638 orang.
Turut hadir dalam lawatan itu ialah Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap ADUN Samalaju Datuk Majang Renggi, ADUN Jepak Iskandar Turkee, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Felicia Tan Ya Hua, Residen Bahagian Bintulu Datu Nyurak Keti, Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak Abdul Wahab Rahim dan Pegawai Daerah Bintulu Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bohan.-EDISI UKAS