Datuk Dr Hazland Ketuai Delegasi Sarawak Ke ADSW 2026
ABU DHABI: Sarawak terus mengukuhkan kedudukannya dalam sektor tenaga baharu di pentas global apabila Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni mengetuai delagasi Sarawak ke Abu Dhabi Sustainable Week (ADSW) 2026 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 13 hingga 15 Januari ini.
Penglibatan Sarawak dalam acara berprestij itu sekali gus mengetengahkan peranan serta inisiatif negeri ini dalam memperkasa agenda tenaga dan kelestarian alam sekitar.
Majlis perasmian ADSW 2026 yang diadakan pada 13 Januari 2026 di Abu Dhabi National Exhibition Centre (ADNEC) telah disempurnakan oleh Presiden UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.
Acara ini berperanan sebagai platform global tahunan yang menghimpunkan pemimpin dunia, pembuat dasar, pemain industri dan pakar bagi memacu pembangunan mampan di peringkat antarabangsa.
Dalam ucapan perasmiannya, Sheikh Mohamed Zayed menegaskan peranan ADSW sebagai platform global yang menyatukan kerajaan, perniagaan dan pelabur, di samping menekankan kepentingan teknologi maju serta kecerdasan buatan (AI) dalam meningkatkan kecekapan, daya tahan dan pertumbuhan ekonomi.
Bertemakan “The Nexus of Next: All Systems Go”, ADSW 2026 menghimpunkan pemegang taruh pelbagai sektor dengan tumpuan kepada sistem tenaga dipacu AI, pembiayaan iklim serta inovasi bagi memperkukuh daya tahan, keselamatan makanan dan air melalui kerjasama rentas sektor.
Pada penyertaan kali ini, Datuk Dr Hazland dijadualkan menjadi panelis bagi Sesi Jawatankuasa Kebangsaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) bertajuk “Resilient Systems, Real Results” pada 15 Januari ini yang mengetengahkan pencapaian dan pendekatan Sarawak dalam sektor tenaga dan alam sekitar.
Beberapa agensi dari Sarawak turut menyertai ADSW 2026 antaranya Senari Synergy Sdn Bhd, Bintulu Port Holdings Berhad, Sarawak Energy, Institut Kelestarian dan Tenaga Boleh Baharu (ISuRE) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Sarawak Metro Sdn Bhd.
Sidang kemuncak yang dianjurkan oleh MASDAR ini disertai lebih 50,000 peserta berdaftar dari 150 negara dan mempamerkan teknologi terobosan serta penyelesaian berskala besar merangkumi tenaga solar dan boleh baharu, hidrogen dan bahan api bersih, teknologi air dan rawatan sisa, ekonomi kitaran, bandar pintar, e-mobiliti, kewangan hijau, tenaga digital, kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber.-EDISI UKAS