Dzulkornain Masron Dilantik Setiausaha Tetap MYSED Baharu
KUCHING: Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) terus komited memastikan kesinambungan perancangan strategik kementerian berjalan lancar dan tersusun melalui perubahan dalam kepimpinan pengurusan tertingginya.
Ia menyaksikan pelantikan Setiausaha Tetap baharu, Dzulkornain Masron yang menggantikan Morshidi Fredrick yang dilantik sebagai Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.
Majlis penyerahan tugas Setiausaha Tetap MYSED yang diadakan di English Tea House di sini pada Selasa turut disaksikan oleh Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Dato Sri Abdul Karim dalam ucapannya merakamkan penghargaan atas jasa dan sumbangan Morshidi sepanjang menerajui pentadbiran kementerian.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Dzulkornain serta menzahirkan keyakinan terhadap keupayaan beliau untuk mengemudi kementerian ke arah pencapaian lebih progresif selaras aspirasi pembangunan Sarawak.
Majlis tersebut bukan sekadar simbol peralihan kepimpinan, malah mencerminkan komitmen kementerian untuk memperkukuh tadbir urus pentadbiran serta mempercepat pelaksanaan inisiatif yang memberi manfaat langsung kepada belia, atlet dan usahawan muda di Sarawak.
Dato Sri Abdul Karim turut menyatakan keutamaan akan diberikan kepada usaha memperluas peluang pembangunan belia, meningkatkan prestasi sukan negeri serta merancakkan penyertaan belia dalam bidang keusahawanan sebagai pemacu ekonomi masa hadapan Sarawak.
Majlis turut disaksikan oleh Timbalan Menteri MYSED, Datuk Dr Ripin Lamat, pegawai-pegawai kanan kementerian, pengurusan MYSED Bahagian, pengurus Dewan Suarah serta pengetua Kem Belia.
Ia diakhiri dengan sesi penyerahan dokumen rasmi dan bergambar sebagai simbol amanah kepimpinan baharu demi memastikan kelangsungan agenda pembangunan belia, sukan dan keusahawanan Sarawak terus dipacu secara mampan dan berfokus.-EDISI UKAS