Yang di-Pertua Negeri Sarawak & Isteri Meriahkan Majlis Makan Malam Bersama Pesara Pegawai Polis Sarawak
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi berkenaan menghadiri Majlis Makan Malam Bersama Pesara Pegawai Polis Komponen Sarawak di Sarawak Club, pada Selasa.
Ketibaan Tun Pehin Sri dan Toh Puan pada jam 7.45 malam disambut mesra oleh mantan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Jamil Johari, bersama isteri, Puan Sri Zahrah Seruji serta rakan-rakan pesara pegawai polis.
Majlis tersebut menjadi platform bermakna yang bukan sahaja menghimpunkan semula barisan pegawai kanan Polis Sarawak yang telah bersara, malah mengeratkan hubungan persahabatan serta memperkukuh kesinambungan legasi perjuangan dalam pasukan keselamatan.
Dalam ucapan alu-aluannya, Tan Sri Mohd. Jamil mewakili rakan-rakan menzahirkan rasa terharu dan berbesar hati atas kesudian Tun Pehin Sri meluangkan masa bersama pesara polis, selain menyatakan kebanggaan terhadap perjalanan kerjaya beliau yang bermula dalam pasukan polis sebelum menggalas amanah sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Sepanjang majlis, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi dan rakan-rakan turut berkongsi kisah serta pengalaman semasa berkhidmat, sekali gus mengimbau kenangan suka dan duka dalam memperjuangkan keselamatan negara.
Kenangan tersebut mencerminkan peranan besar pesara polis dalam membentuk asas keamanan dan keharmonian Sarawak yang terus dinikmati sehingga ke hari ini.-EDISI UKAS