SRI AMAN: Aduan mengenai kerosakan yang berlaku terhadap Jambatan Sebujok dalam kawasan Ulu Undop di sini mendapat perhatian Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis.
Justeru, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang telah meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi melaksanakan kerja membaik pulih jambatan berkenaan.
"Tuai Rumah Suntie Sayup dari Kampung Sebujok, Ulu Undop telah menyampaikan aduan kepada kami mengenai wujudnya rekahan pada pangkal jambatan berkenaan dan memohon agar ia diperbaiki segera.
"Atas sebab itu, saya telah pun bertindak melulus projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Simanggang bagi melaksana kerja pembaikan terhadap jambatan itu yang dilaksana oleh pihak kontraktor ER Enterprese," katanya ketika ditemui semasa melakukan lawatan terhadap kerja pembaikan jambatan tersebut baru-baru ini.
Datuk Francis menambah, tindakan terbabit penting untuk keselamatan pengguna harian terutama sekali pelajar dan petani yang bergantung pada kemudahan berkenaan.
Pihak beliau turut bertindak membina tiga buah pembentung di sepanjang jalan Kampung Sungai Reboh hingga ke Kampung Paku Ili dekat Batu Lintang, Undop, di sini.
"Dengan adanya kemudahan pembentung terbabit maka masalah banjir kilat dapat akan dapat dikurangkan di samping menjadikan jalan lebih selamat untuk laluan kenderaan-kenderaan kecil," katanya.
Datuk Francis menambah, aktiviti lawatan ke tapak projek RTP ini sekali gus menunjukkan komitmen pihak kerajaan dalam memastikan usaha pembangunan infrastruktur di kawasan luar bandar diberi perhatian demi kesejahteraan penduduk DUN Simanggang. -EDISI UKAS