Yang di-Pertua Negeri Sarawak Terima Kunjungan Hormat Datuk Dr Juanda Serta Rombongan
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkenan untuk menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya, di kediaman rasmi beliau, di sini pada Rabu.
Mengiringi Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi ialah isteri beliau, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Kunjungan tersebut turut disertai oleh Timbalan Ketua Ombudsman Sarawak Alexander Unya Ambon, Ombudsman-Ombudsman Sarawak Albert Tang Yew Liong dan Toieyah Tioh serta Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) Wan Mohamad Wan Drahman.
Dalam pertemuan lebih sejam itu, Datuk Dr Juanda berkongsi penubuhan Ombudsman Sarawak di bawah Ordinan Ombudsman Sarawak 2023 serta aktiviti mereka pada tahun lalu termasuk sesi Townhall bersama agensi perkhidmatan awam, Hari Ombudsman Sarawak 2025 serta beberapa lawatan kerja antarabangsa ke Sweden, United Kingdom dan Australia.
Menurut ringkasan eksekutif kunjungan tersebut, Ombudsman Sarawak pada tahun ini akan memberi keutamaan kepada peluasan jangkauan dan kesedaran di seluruh Sarawak, mengukuhkan pengurusan aduan serta proses siasatan, pembinaan kapasiti dan latihan profesional yang tersusun serta penglibatan berterusan di peringkat antarabangsa.
Susulan itu, beberapa program utama telah dirangka termasuk sesi libat urus bersama agensi perkhidmatan awam dan orang awam di bahagian utara, tengah dan selatan Sarawak, Pembentangan Laporan Tahunan Ombudsman Sarawak 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada bulan May, mesyuarat ‘Southeast Asian Ombudsman Forum’ (SEAOF), Hari Ombudsman dan lawatan kerja ke Institusi Ombudsman Antarabangsa di Ireland, Scotland dan Wales.