MIRI: Projek naik taraf Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Sungai Tujoh kini mencapai 88 peratus kemajuan dan disasar siap sepenuhnya serta beroperasi seminggu sebelum sambutan Tahun Baharu Cina, sekali gus memberi kelegaan kepada ribuan pengguna pintu sempadan utama Sarawak–Brunei Darussalam.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, projek bernilai RM4 juta yang diluluskan oleh Kerajaan Sarawak dengan sokongan Premier Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg itu merangkumi pembinaan empat lorong tambahan, penambahan kaunter imigresen dan kastam serta pembinaan 12 unit tandas awam termasuk kemudahan untuk Orang Kurang Upaya (OKU).
Menurut beliau, kesesakan lalu lintas di pintu masuk sempadan berkenaan telah lama menjadi rungutan pengguna, khususnya pada hujung minggu dan musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina dan Hari Raya dengan tempoh menunggu mencecah antara tiga hingga lima jam.
“Kesesakan menjadi lebih ketara apabila jumlah kenderaan meningkat, melibatkan pengguna dari Brunei, Miri, Lawas, Limbang serta Sabah yang melalui Brunei untuk ke Miri.
"Justeru, projek ini amat penting bagi memastikan kelancaran pergerakan rentas sempadan,” katanya semasa mengadakan lawatan kerja bagi memantau kemajuan projek di ICQ Sungai Tujoh, di sini pada Rabu.
Sehubungan itu, beliau telah meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) meningkatkan pemantauan agar projek dapat disiapkan mengikut jadual, manakala kontraktor turut disasarkan menyelesaikan kerja sebelum sambutan Tahun Baharu Cina.
Projek tersebut pada asalnya dijadualkan siap pada Disember tahun lalu namun diberikan lanjutan masa susulan beberapa pindaan kecil reka bentuk.
Apabila siap kelak, aliran trafik akan diasingkan mengikut jenis kenderaan, di mana kenderaan berdaftar Malaysia dan Brunei akan menggunakan lorong serta kaunter berasingan.
Empat kaunter baharu akan dikhususkan kepada kenderaan Malaysia bagi mempercepatkan proses pelepasan.
Dalam pada itu, Dato Sri Lee turut mencadangkan penambahan kakitangan imigresen dan kastam bagi memastikan semua kaunter tambahan dapat beroperasi sepenuhnya, terutamanya ketika musim perayaan.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa projek naik taraf ini merupakan penyelesaian jangka pendek, manakala perancangan menaik taraf menyeluruh ICQ Sungai Tujoh akan dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan untuk dipertimbangkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Bagi jangka panjang, beliau turut mencadangkan penggunaan teknologi moden seperti pelepasan elektronik, pengecaman wajah atau kenderaan bagi mempercepatkan proses keluar masuk, selari dengan amalan pintu sempadan antarabangsa lain.-EDISI UKAS