Ts. Ahmad Selihin Dilantik Pengarah Baharu JBALB Sarawak
KUCHING: Ts. Ahmad Selihin Che Said secara rasmi dilantik sebagai Pengarah baharu Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak berkuat kuasa 15 Januari 2026 bagi menggantikan mantan Pengarah, Datu Ir. Ts. Awang Mohammad Fadillah Awang Redzuan.
Beliau yang sebelum ini merupakan Timbalan Pengarah (Operasi) JBALB menerima Nota Serah Tugas dalam satu majlis rasmi yang diadakan di Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak, pada Rabu.
Majlis Penyerahan Nota Serah Tugas tersebut diadakan sebagai proses rasmi penyerahan tanggungjawab kepimpinan serta bagi memastikan kesinambungan tadbir urus jabatan.
Ia turut disaksikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datu Jafri Lias.
Dalam ucapannya, Datu Jafri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datu Ir. Ts. Awg Mohammad Fadillah atas khidmat bakti serta sumbangan beliau sepanjang menjawat jawatan Pengarah JBALB bermula 2 Januari 2024 hingga 14 Januari 2026.
Katanya, majlis ini menandakan satu peralihan kepimpinan yang teratur serta komitmen berterusan kementerian dalam memperkukuh pengurusan dan penyampaian perkhidmatan bekalan air luar bandar di Sarawak.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Sarawak Energy Berhad Dato Ir. James Ung, wakil dari Sarawak Water Sdn. Bhd Mohamad Adzman Abdullah serta ketua-ketua jabatan dan tetamu jemputan lain.