Pemeriksaan CPC Projek Jambatan Batang Baleh di Nanga Gaat
KAPIT: Pemeriksaan Sijil Siap Praktikal (CPC) telah dijalankan bagi Projek Pembinaan Jambatan RC Batang Baleh dan Jalan R1 ke Rumah Tungku di Tapak Projek Nanga Gaat, Baleh, pada Rabu.
Pemeriksaan tersebut merangkumi pembinaan Jambatan RC Batang Baleh yang merentasi Sungai Semira serta Jalan R1 Fasa 1 Seksyen 1 sepanjang 7.923 kilometer, termasuk kerja penambahbaikan persimpangan sejauh 500 meter, pembinaan jalan spur ke Rumah Mamat dan pemasangan Jambatan Bailey sepanjang 76.782 meter.
Timbalan Menteri Digital merangkap Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong, berkata pemeriksaan CPC merupakan langkah penting bagi memastikan setiap komponen projek dilaksanakan mengikut spesifikasi teknikal, piawaian keselamatan serta terma kontrak sebelum diserahkan kepada pihak berkaitan untuk operasi dan penyelenggaraan.
Menurut beliau, pembinaan jalan perlu memastikan kesalinghubungan antara rumah-rumah panjang bagi memudahkan pergerakan penduduk, mengurangkan kos logistik dan menyokong pembangunan sosioekonomi masyarakat luar bandar.
Beliau turut berharap agar pelaksanaan Fasa 2 Seksyen 2, termasuk pembinaan jambatan merentasi Batang Baleh, dapat dipercepatkan dengan peruntukan Kerajaan Negeri demi manfaat lebih 16 rumah panjang serta meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.
Antara isu yang dibincangkan sepanjang pemeriksaan ialah jangkaan peningkatan beban penggunaan jalan, cabaran logistik seperti bekalan premix yang tidak konsisten, jarak tapak projek yang jauh serta kekangan pengangkutan ke tapak pembinaan Fasa 1 Seksyen 1.
Sehubungan itu, skop kerja premix dicadangkan untuk dilaksanakan di bawah Fasa 1 Seksyen 2.
Pemeriksaan tersebut dijalankan dengan kerjasama Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) dan RECODA serta disertai Residen Bahagian Kapit, Timbalan Residen, Pegawai Daerah Bukit Mabong, wakil agensi berkaitan dan pihak kontraktor Perbena Emas.-EDISI UKAS