Program Kembali Ke Sekolah Bantu Persiapan Lebih 1,500 Pelajar Kuala Rajang
SARIKEI: Lebih 1,500 pelajar di kawasan Dewan Undangan Negeri Kuala Rajang menerima manfaat menerusi Program Kembali Ke Sekolah yang dilaksanakan bagi membantu persiapan awal persekolahan mereka.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata program tersebut bertujuan meringankan beban keluarga, khususnya ibu bapa daripada golongan berpendapatan rendah, selain memberi galakan kepada pelajar untuk memulakan sesi persekolahan dengan lebih yakin.
Menurut beliau, program itu bukan sahaja menyediakan keperluan asas persekolahan seperti kelengkapan belajar, malah berperanan menyuntik semangat kepada pelajar agar terus berusaha mencapai kejayaan dalam pendidikan.
“Program ini telah menjadi inisiatif tahunan dan kini memasuki edisi ke-15, selari dengan komitmen kami untuk memastikan tiada pelajar tercicir daripada arus pendidikan,” katanya ketika mengulas penganjuran program tersebut pada Selasa.
Beliau turut menjelaskan bahawa pemilihan penerima dibuat berdasarkan maklumat yang disalurkan oleh pihak sekolah termasuk guru dan guru besar bagi memastikan bantuan disampaikan kepada pelajar yang benar-benar memerlukan.
Pelaksanaan program dijalankan secara berperingkat mengikut zon bagi memastikan penyampaian bantuan berjalan lancar, melibatkan Zon Sarikei yang merangkumi Selalang serta Zon Tanjung Manis meliputi Stalun, Pulau Rajang, Belawai, Tanjung Manis, Bukit Pelandok, Jerijeh dan Sebayang.
Program ini dianjurkan oleh Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN Kuala Rajang sebagai usaha bersama memperkasa pendidikan dan menyokong kesejahteraan pelajar di kawasan berkenaan.-EDISI UKAS