Wee Teck Min Dilantik Pengerusi MDMJ, Terajui Kepimpinan Baharu
BINTANGOR: Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ) kini diterajui kepimpinan baharu susulan pelantikan Wee Teck Min sebagai pengerusi baharu, sekali gus memperkukuh hala tuju pembangunan dan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing merakamkan ucapan tahniah kepada Wee yang juga Pegawai Daerah Meradong atas pelantikan tersebut dan berharap seluruh Ahli Majlis dapat terus komited dalam menjaga serta menangani isu-isu berkaitan kawasan pentadbiran masing-masing.
“Saya berharap seluruh Ahli Majlis MDMJ dapat terus komited dan bekerjasama dalam memastikan aspek kebersihan perparitan, pengurusan pembuangan sampah mengikut jadual yang ditetapkan, penyelenggaraan tong sampah, pemotongan rumput serta perkara berkaitan lain demi kesejahteraan penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis angkat sumpah penerimaan jawatan berkenaan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat MDMJ pada Khamis.
Datuk Ding turut menegaskan, kerjasama erat antara Ahli Majlis, agensi kerajaan dan komuniti setempat amat penting bagi memastikan perancangan serta pelaksanaan projek di kawasan Meradong dan Julau dapat dilaksanakan dengan lancar.
Menurut beliau, selain isu kebersihan dan penyelenggaraan infrastruktur, fokus kerja Majlis juga perlu turut merangkumi peningkatan penyediaan kemudahan awam, pengindahan kawasan bandar serta usaha memperkukuh ekonomi setempat melalui pelaksanaan program pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat.
Beliau yakin dengan pelantikan Pengerusi baharu serta komitmen semua pihak, MDMJ akan terus berperanan sebagai sebuah institusi kerajaan tempatan yang efektif, responsif dan prihatin terhadap keperluan penduduk.
Hadir sama dalam majlis ini ialah Setiausaha MDMJ Lau Chi Sing.-EDISI UKAS