RMK-13: RM4 Bilion Diperuntukkan, Bina Kuarters Kerajaan Di Sarawak
GEDONG: Sebanyak RM4 bilion diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) untuk pembinaan kuarters kerajaan di seluruh Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kuarters berkenaan nanti bukan sahaja digunakan oleh penjawat awam Sarawak, tetapi diguna bersama dengan penjawat awam persekutuan yang bertugas di negeri ini.
Menurut beliau, masalah yang dihadapi oleh penjawat awam sekarang adalah ditempatkan di kawasan daerah-daerah kecil dan pedalaman tanpa disediakan kuarters sehingga menimbulkan persoalan tentang bagaimana mereka dapat menetap dan menjalankan tugas dengan selesa tanpa kemudahan asas yang baik.
“Sehubungan itu, satu pendekatan baharu telah dirangka bagi menyelesaikan isu ini, iaitu dengan membina kuarters yang akan dikongsi antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.
“Dalam RMK-13, sebanyak kira-kira RM4 bilion telah diperuntukkan untuk pembinaan kuarters di seluruh Sarawak.
“Kemudahan ini kelak akan digunakan bersama oleh agensi Persekutuan dan Sarawak, sekali gus memperkukuh kerjasama antara kedua-dua pihak demi membina Sarawak dan Malaysia yang lebih kukuh pada masa hadapan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Pendigitalan Klinik Kesihatan Menggunakan CCMS dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) di Dewan Patinggi Ali, di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut ketika ditemui media, Datuk Patinggi Abang Zohari menjelaskan bahawa kuarters ini nanti akan dibina menggunakan konsep pangsapuri yang dilengkapi dengan kelengkapan gim dan kemudahan rekreasi.
“Setakat ini, kita telah membangunkannya di Mulu iaitu di pusat bandaranya, di Limbang iaitu bersebelahan dengan Pejabat Residen Limbang dan Jepak di Bintulu,” jelas beliau lagi.
Usaha ini jelas beliau adalah untuk memberi keselesaan dan fasiliti yang lengkap kepada semua penjawat awam baik mereka di bawah persekutuan mahupun Sarawak.
Hadir sama, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Timbalan Menteri Kesihatan Dato Hanifah Hajar Taib, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak dan Persekutuan, dif-dif kenamaan, Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang, Ketua-Ketua Jabatan serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Hazrin Sunaini/ George S. Embie