Curtin Malaysia Perkukuh Asas Matematik Pelajar Melalui Kem Peningkatan Intensif
MIRI: Curtin University Malaysia (Curtin Malaysia) terus memperkasa pembangunan modal insan berkemahiran apabila seramai 59 pelajar program asas menyertai Kem Peningkatan Matematik yang dianjurkan bagi membantu mengatasi kebimbangan serta kelemahan asas dalam subjek kritikal tersebut.
Program intensif sehari anjuran School of Pre-U and Continuing Education (SPACE) dengan sokongan Curtin Malaysia Teaching Support Fund 2025 itu melibatkan pelajar daripada program Foundation in Commerce serta Foundation in Engineering & Science, yang dikenal pasti berdepan cabaran jurang pengetahuan matematik tambahan ketika memulakan pengajian di peringkat universiti.
Kem berkenaan memberi penekanan kepada pengukuhan kefahaman konsep asas serta aplikasi praktikal topik-topik utama yang sering menjadi kekangan kepada pelajar, antaranya eksponen, logaritma, pembezaan dan pengamiran, selain meningkatkan keupayaan menggunakan formula dengan tepat dan berkesan.
Ketua Penganjur Program, Associate Teaching Fellow Puteri Nurul Fatihah Mohamad Azli, berkata inisiatif tersebut dirangka susulan kebimbangan terhadap tahap keyakinan pelajar dalam matematik, khususnya dalam kalangan pelajar baharu.
“Ramai pelajar sebenarnya mempunyai potensi dan kesungguhan yang tinggi, namun kekangan asas matematik tambahan menyebabkan mereka hilang keyakinan.
"Program ini diwujudkan bagi membina semula asas tersebut supaya pelajar dapat mendekati soalan matematik dengan lebih jelas dan tanpa rasa takut,” katanya ketika ditemui media pada Rabu.
Pelaksanaan kem ini turut disokong barisan akademik SPACE iaitu Jameson Malang, Dr. Anita Jimmie dan Fifi Liew Ee En, manakala sesi pengajaran dikendalikan oleh pendidik matematik berpengalaman, Voon Fui Yen dari Sekolah Menengah Sains Miri, yang menggunakan pendekatan sistematik dan mudah difahami bagi menjelaskan konsep matematik yang kompleks.
Melalui kaedah penerangan, langkah demi langkah serta strategi penyelesaian masalah secara praktikal, para pelajar dibimbing memahami logik di sebalik prinsip matematik, sekali gus meningkatkan keupayaan mereka untuk menyelesaikan soalan secara tersusun dan yakin.
Maklum balas peserta terhadap program ini amat menggalakkan, dengan kebanyakan pelajar menyatakan pendekatan pengajaran yang interaktif serta suasana pembelajaran yang kondusif telah membantu meningkatkan kefahaman dan keyakinan mereka untuk menghadapi cabaran akademik yang lebih tinggi.
Kem Peningkatan Matematik ini mencerminkan komitmen berterusan Curtin Malaysia dalam menyediakan sokongan akademik bersasar dan berimpak tinggi, khususnya dalam memperkukuh kemahiran asas pelajar sebagai persediaan menghadapi tuntutan pengajian universiti dan keperluan tenaga kerja masa hadapan.-EDISI UKAS