Projek Dewan Serbaguna Sekolah Agama Rakyat Miri hampir 40 Peratus Siap
MIRI: Projek Dewan Serbaguna Berbumbung di Sekolah Agama Rakyat Miri di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2024 menunjukkan kemajuan positif apabila kerja pembinaan kini mencecah 40 peratus siap.
Lawatan kerja tersebut diketuai oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (Pelancongan), merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, pada Khamis bersama pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR), pihak kontraktor serta guru besar sekolah.
Projek dengan kos RM150,000 ini dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh enam bulan, bermula 29 Oktober 2025 hingga 29 April 2026.
Menurut Datuk Sebastian Ting, projek ini dijangka memberi manfaat langsung kepada sekolah dan pelajar dari segi kemudahan asas, keselamatan dan keselesaan.
“Keprihatinan dan usaha semua pihak yang terlibat amat dihargai, dan saya berpuas hati dengan kelancaran pelaksanaan projek ini. Kita berharap cuaca baik dapat membantu memastikan projek disiapkan mengikut jadual,” katanya lagi.
Projek Dewan Serbaguna ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan bagi meningkatkan fasiliti pendidikan di kawasan luar bandar, selaras dengan usaha memperkukuh infrastruktur sekolah dan memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Turut hadir dalam lawatan ialah Pemanca Leonard Fong, Kaunselor Lisa Yu dan Kaunselor Tan Lek Jin, yang masing-masing turut memberi sokongan terhadap kelancaran pelaksanaan projek RTP di kawasan Piasau.-EDISI UKAS