Projek Rintis Sekolah SK Batu Lintang Siap, Sedia Kemudahan Pendidikan Lebih Kondusif
SRI AMAN: Projek Rintis Sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Lintang, Undop di sini telah siap sepenuhnya, sekali gus menyediakan kemudahan pendidikan yang lebih selesa dan kondusif kepada murid serta warga sekolah, khususnya di kawasan luar bandar.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata, projek yang bermula pada Ogos 2024 dan siap pada September 2025 itu melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM7 juta dengan peruntukan disalurkan oleh Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD).
“Ia dilaksana secara bersama oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dan MEITD dengan projek ini melibatkan pembinaan satu blok asrama lelaki, satu blok asrama perempuan, dewan makan dan dua kuaters kakitangan sekolah.
"Kerja pembinaan bangunan baharu di sekolah terbabit telah dilakukan oleh kontraktor Dermaga Makmur Sendirian Berhad dengan pihak Jabatan Pendidikan bertindak menyelia pelaksanaan projek ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa lawatan ke tapak Projek Rintis Sekolah di SK Batu Lintang, Undop hari ini.
Datuk Francis Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang memaklumkan bahawa projek berkenaan kini memasuki fasa pengendalian kualiti fasiliti sebelum memberi tumpuan sepenuhnya kepada peningkatan pencapaian akademik murid.
“Sehubungan itu, saya berharap warga SK Batu Lintang dapat memanfaatkan sepenuhnya kemudahan baharu ini agar ia dapat menyumbang secara langsung kepada kecemerlangan akademik murid pada masa hadapan,” katanya.
SK Batu Lintang, Undop merupakan antara enam sekolah di Sarawak yang dipilih bagi pelaksanaan Projek Rintis Sekolah di bawah inisiatif pembangunan semula sekolah daif.
Projek Rintis Sekolah bertujuan untuk memodenkan pendidikan, meningkatkan kemahiran digital guru dan murid (STEM/AI) serta menyediakan infrastruktur pembelajaran yang kondusif selaras dengan agenda MyDigital Sarawak.-EDISI UKAS