JKM Limbang Agih Bantuan Bakul Makanan Kepada Mangsa Banjir di Pedalaman
LIMBANG: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Limbang terus giat menyalurkan bantuan bakul makanan kepada penduduk yang terjejas banjir di kawasan pedalaman, susulan laporan terputus akses perhubungan yang diterima Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Limbang baru-baru ini.
Bantuan kali ini memfokuskan penduduk di Kampung Logan Limbun, Kampung Ranggu dan Kampung Tanjong, yang masing-masing berdepan cabaran perhubungan dan kerosakan akibat kejadian banjir.
Pembantu Pembangunan Masyarakat JKM, Alexander, menjelaskan proses penyaluran bantuan dilaksanakan secara berperingkat selepas laporan rasmi diterima daripada Pejabat Daerah dan disahkan oleh JPBB.
“Setelah menerima laporan daripada Pejabat Daerah dan pengesahan JPBB, pihak kami mengenal pasti jumlah mangsa yang terjejas sebelum pengagihan bantuan dilaksanakan,” katanya ketika ditemui media pada Rabu.
Di Kampung Ranggu, seramai 108 keluarga menerima pek bakul makanan.
Menurut Ketua Kampung, Mandan Malik, kampung mereka sering berdepan fenomena alam itu hampir setiap tahun.
“Tahun lepas kampung kami mengalami banjir lebih kurang enam kali. Tahun ini, banjir pertama berlaku pada 6 Januari dan surut sepenuhnya pada 9 Januari.
"Permohonan bantuan telah diajukan melalui Pejabat Daerah Limbang dan disalurkan kepada JKM,” ujarnya ketika ditemui.
Sementara itu, 61 pek bakul makanan pula diserahkan di Kampung Logan Limbun.
Manakala di Kampung Tanjong, sebanyak 180 pek bakul makanan berjaya disalurkan, meskipun jalan utama ke kampung tersebut terputus selama lima hari.
Penyaluran bantuan ini menekankan komitmen berterusan JKM Limbang dalam memastikan kebajikan penduduk terjejas banjir sentiasa diutamakan, terutamanya di kawasan luar bandar yang berdepan cabaran akses semasa bencana.-EDISI UKAS