Majlis Penyerahan Bakul Makanan Ringankan Beban Mangsa Banjir Selangau
SELANGAU: Usaha membantu mangsa banjir di Selangau diteruskan melalui Majlis Penyerahan Bakul Makanan yang diadakan di Pejabat Daerah Selangau, bagi meringankan beban penduduk yang terjejas.
Majlis pada Rabu itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta, bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Ir. Christopher Gira Sambang serta Ketua Polis Daerah (KPD) Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias.
Dalam ucapannya, Edwin menegaskan kepentingan tahap kesiapsiagaan penduduk khususnya yang tinggal di kawasan berisiko banjir, termasuk keperluan menyimpan dokumen penting di tempat selamat bagi mengelakkan kehilangan semasa bencana.
“Penduduk perlu sentiasa bersedia, terutamanya dengan memastikan dokumen penting disimpan dengan baik bagi mengelakkan sebarang kesulitan apabila bencana berlaku,” katanya ketika berucap.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan yang telah melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi tanpa mengira masa dan keadaan cuaca sepanjang tempoh bencana, selain memaklumkan bahawa bantuan keperluan dan kelengkapan turut pernah disalurkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Tatau dan Selangau pada tahun sebelumnya.
Sementara itu, Ir. Christopher Gira menekankan peranan pihak swasta melalui pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam membantu usaha pemulihan pasca banjir, khususnya bagi membaiki jalan kampung dan infrastruktur awam yang rosak.
“Kerjasama sektor swasta amat penting, terutamanya dalam membaiki jalan-jalan kampung yang rosak akibat banjir agar kehidupan penduduk dapat kembali pulih dengan segera,” tegasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PETROS atas sumbangan bakul makanan kepada mangsa banjir yang berpindah ke PPS, serta menegaskan keperluan tindakan segera bagi membaiki jalan dan laluan yang runtuh akibat banjir.
Beliau turut menekankan agar bantuan turut dipertimbangkan kepada penduduk yang tidak berpindah ke PPS tetapi terjejas teruk akibat banjir, termasuk penduduk Rumah Senabong di Sungai Kua yang mengalami banjir kilat sehingga menyebabkan kerosakan harta benda dan kehilangan ternakan.
Pada majlis sama, Pegawai Daerah Selangau, Yalin Asan, memaklumkan bahawa seramai 1,023 Ketua Isi Rumah (KIR) terjejas sepanjang tempoh bencana banjir yang berlaku dari 9 hingga 12 Januari 2026, selain Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah turut menerima sembilan laporan kejadian tanah runtuh di beberapa lokasi berisiko.
Menurut beliau, sebuah PPS telah dibuka dari 9 hingga 12 Januari bagi menempatkan mangsa banjir dari Rumah Janting, Rumah David dan Rumah Jambai di Sungai Arip, serta mencadangkan pembinaan stesen hidrologi di kawasan berisiko banjir sebagai langkah pemantauan awal dan sistem amaran awal bagi mengurangkan impak bencana pada masa hadapan.
Majlis penyerahan bakul makanan ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dan kerjasama pelbagai agensi dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela, khususnya dalam mendepani cabaran bencana alam yang semakin kerap berlaku.-EDISI UKAS