Kerajaan Sarawak Salur Bantuan Segera Kepada Mangsa Banjir Ulu Sebauh
BINTULU: Kerajaan Sarawak meneruskan komitmen terhadap kebajikan mangsa banjir melalui lawatan dan penyaluran bantuan segera di kawasan Ulu Sebauh, Bintulu melibatkan beberapa rumah panjang terjejas.
Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Steven Kong Kai Seng berkata, beliau bersama kakitangan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bintulu serta Pemuda Parti Demokratik Progresif (PDP) turun padang bagi menilai tahap kerosakan serta keperluan mendesak penduduk.
“Hasil tinjauan telah dimaklumkan kepada Dato Sri Tiong King Sing dan berdasarkan arahan beliau, bantuan segera disalurkan secara keutamaan kepada rumah panjang yang paling terjejas, khususnya Rumah Saging Layang, Sungai Ensaie, Jalan Ulu Sebauh,” katanya.
Menurut Steven Kong, barangan keperluan asas telah disampaikan kepada 45 keluarga bagi meringankan beban akibat bencana banjir yang masih belum pulih sepenuhnya.
Beliau turut memaklumkan paras air di kawasan berkenaan masih belum surut sepenuhnya, selain beberapa laluan utama terjejas, menyebabkan penduduk mengambil inisiatif menyelaras penggunaan bot untuk memastikan penghantaran bantuan dilakukan secara berperingkat.
Sementara itu, Tuai Rumah Saging Layang merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak, Pemuda PDP dan semua pihak yang terlibat, sambil menyifatkan bantuan tersebut amat bermakna ketika pergerakan keluar masuk masih terbatas akibat banjir.
Dato Sri Tiong ketika dihubungi menegaskan beliau akan terus memantau situasi banjir di Ulu Sebauh dan bersedia menyalurkan bantuan tambahan bagi memastikan kebajikan mangsa sentiasa terpelihara, selaras dengan keprihatinan Kerajaan Sarawak terhadap rakyat.-EDISI UKAS