Sistem Perparitan Usang Punca Banjir Kilat, MBM Rangka Tindakan Susulan Fasa Kedua
MIRI: Keadaan sistem perparitan yang masih menggunakan parit tanah dan tidak diselenggara secara berkala dikenal pasti sebagai antara punca utama kejadian banjir kilat di Kampung Piasau Utara, susulan insiden yang berlaku pada 9 Januari lalu.
Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata, sebahagian parit sedia ada didapati tersumbat serta gagal menyalurkan air hujan dengan lancar, sekali gus menyebabkan takungan air berlaku dalam tempoh singkat ketika hujan lebat.
“Sekiranya sistem perparitan berada dalam keadaan bersih dan tidak tersumbat, kebiasaannya masalah takungan air dapat dikawal. Namun di Piasau Utara, masih terdapat parit tanah yang memerlukan kerja pembersihan dan penyelenggaraan segera,” katanya semasa mengadakan tinjauan ke kawasan berkenaan pada Rabu bagi menilai keadaan saliran dan persekitaran setempat.
Tambah beliau, cabaran utama di kawasan tersebut ialah kedudukan muara parit yang berhampiran dengan sungai, menyebabkan aliran keluar air menjadi perlahan apabila paras air sungai meningkat dan berada pada aras yang sama dengan paras air parit.
Dalam lawatan berkenaan, Adam Yii turut menegur isu pengubahsuaian laluan masuk ke rumah oleh segelintir penduduk yang telah mengecilkan atau menutup parit sedia ada, sekali gus menjejaskan fungsi sistem perparitan.
“Tindakan menutup atau mengecilkan parit memberi kesan langsung kepada aliran air dan menyumbang kepada masalah banjir. Isu ini perlu ditangani secara menyeluruh dengan kerjasama semua pihak,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa Majlis Bandaraya Miri (MBM) akan melaksanakan tindakan susulan fasa kedua dengan melibatkan agensi berkaitan bagi memulihkan fungsi saliran serta merangka langkah penambahbaikan jangka sederhana dan panjang.
Lawatan tinjauan tersebut turut disertai ahli-ahli Majlis Bandaraya Miri serta wakil Seksyen Kejuruteraan MBM, sebagai usaha mendapatkan gambaran menyeluruh terhadap keperluan teknikal dan cabaran di lapangan.
Pendekatan bersepadu ini penting bagi mengurangkan risiko banjir kilat pada masa hadapan, sekali gus memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan penduduk Kampung Piasau Utara terus terpelihara.-EDISI UKAS