GEDONG: Kerajaan Sarawak telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM10 juta untuk mendigitalkan 142 klinik kesihatan di seluruh Sarawak untuk menggunakan ‘Cloud-Based Clinic Management System’ (CCMS).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, berkata sistem baharu ini akan memudahkan urusan doktor dan jururawat di klinik dengan memendekkan urusan pengkeranian sekaligus memberi lebih banyak masa merawat pesakit.
Menurut beliau, pesakit juga mendapat manfaat keseluruhannya apabila mereka dapat menyimpan rekod kesihatan mereka di mana sahaja mereka berada.
“Jadi dalam semangat untuk membantu rakyat dan semangat negara Malaysia, Sarawak akan memberi RM10 juta.
“Dengan ada sistem CCMS, maka klinik kesihatan seluruh Sarawak akan mempunyai rangkaian kepada pangkalan data pesakit,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Pendigitalan Klinik Kesihatan Menggunakan CCMS dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) di Dewan Patinggi Ali, Gedong, pada Khamis.
Selain sistem ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong itu turut memberitahu bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyediakan lapan unit klinik pergigian bergerak dalam usaha membantu pesakit terutamanya mereka yang berada di kawasan luar bandar mendapatkan akses rawatan pergigian.
“Harga seunitnya adalah RM1 juta dan mereka (KKM) telah memberi lapan unit, bermakna RM8 juta secara keseluruhannya,” jelas beliau lagi.
Menurut Datuk Patinggi Abang Zohari lagi, klinik pergigian bergerak ini nanti akan ditempatkan di Kota Samarahan yang akan diguna sehingga ke Tambirat, Sebuyau dan kawasan sekitarnya termasuk beberapa lagi kawasan seperti Sarikei dan Lawas.
Mengulas lanjut ketika ditemui pemberita, beliau menjelaskan jumlah unit klinik pergigian bergerak ini akan ditambah sekiranya terdapat keperluan mendesak dari masa ke semasa.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Malaysia Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam ucapan aluannya, memberitahu Sarawak masih mempunyai baki 117 buah klinik kesihatan dan 49 klinik pergigian yang belum didigitalkan, dengan anggaran implikasi kos sebanyak RM16 juta.
Dengan kerjasama utuh antara kedua-dua badan kerajaan hari ini, beliau yakin mereka mampu mencari jalan untuk melengkapkan baki usaha ini demi memastikan akses kesihatan digital yang saksama kepada seluruh rakyat Sarawak, sama ada di bandar mahupun di pedalaman.
Di kesempatan itu juga, Datuk Seri Dr Dzulkefly turut mengumumkan dana berjumlah RM950,000 kepada Klinik Kesihatan Gedong bagi tujuan melancarkan operasi dan membeli peralatan kesihatan di klinik tersebut.
Hadir sama, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Kesihatan Dato Hanifah Hajar Taib, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak dan Persekutuan, dif-dif kenamaan, Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang Ketua-Ketua Jabatan serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Hazrin Sunaini/George S. Embie