SMK Saribas Rai Jubli Intan, Terus Perkasa Pembangunan Modal Insan
DEBAK: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saribas terus memainkan peranan penting dalam pembangunan pendidikan dan modal insan di kawasan Saribas apabila meraikan ulang tahun ke-60 penubuhannya menerusi Sambutan Jubli Intan sekolah berkenaan pada Selasa.
Sambutan yang memperingati perjalanan enam dekad sejak penubuhannya pada 1966 itu turut menyaksikan penganjuran Majlis Anugerah Peringatan Jubli Intan sebagai penghargaan terhadap sumbangan dan jasa warga sekolah dalam memajukan institusi pendidikan berkenaan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, pencapaian tersebut mencerminkan komitmen berterusan barisan pentadbir, guru, kakitangan sokongan, ibu bapa, alumni dan komuniti dalam memastikan kecemerlangan sekolah terus dipertahankan.
Menurut beliau, sumbangan SMK Saribas bukan sahaja dapat dilihat melalui tempoh penubuhannya, malah menerusi kejayaan melahirkan anak tempatan yang kini berkhidmat sebagai pemimpin, golongan profesional, usahawan dan penggerak masyarakat.
Tegasnya, pendidikan merupakan pelaburan penting dalam membina masa depan masyarakat, selain menjadi asas kepada pembangunan modal insan dan kesejahteraan komuniti.
Beliau berkata Kerajaan Sarawak terus komited memperluas akses pendidikan berkualiti kepada semua lapisan masyarakat, termasuk anak-anak di kawasan luar bandar, bagi memastikan tiada yang tercicir daripada arus pembangunan negeri.
Antara inisiatif yang diketengahkan termasuk pencapaian 98.9 peratus penyertaan kanak-kanak dalam pendidikan prasekolah, peruntukan RM18 juta bagi sektor Pendidikan dan Penjagaan Awal Kanak-Kanak (ECCE) serta pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES).
Beliau turut menyeru pelajar supaya memanfaatkan peluang pendidikan, menjaga disiplin dan membina sahsiah diri, selain menekankan kerjasama antara sekolah, ibu bapa dan komuniti dalam memastikan pembangunan pendidikan berterusan. -EDISI UKAS