SAREX 2026 Buka Peluang Kerjaya, Ekonomi Dalam Industri E-Sukan Antarabangsa
KUCHING: Industri e-sukan bukan sekadar menawarkan peluang sebagai pemain profesional, malah membuka ruang kerjaya dalam bidang teknikal, kejurulatihan dan penyiaran yang berpotensi menjana pendapatan kepada bakat tempatan.
Presiden Persatuan Sukan Elektronik Negeri Sarawak (SESA), Afiq Fadhli Narawi berkata, penganjuran Sarawak E-Sports Expo (SAREX) 2026 bertemakan Beyond Gaming bertujuan memperluas pemahaman masyarakat mengenai potensi industri digital itu di luar aspek pertandingan permainan video.
Menurutnya, komuniti tempatan perlu diberi pendedahan bahawa industri e-sukan turut memerlukan tenaga kerja dalam pelbagai bidang sokongan yang boleh diceburi sebagai kerjaya.
“Beyond gaming ini kita maksudkan adalah untuk melihat lebih jauh daripada hanya bermain pertandingan ataupun bermain game.
“Sebab ada banyak lagi cabang-cabang lain di dalam industri e-sukan ini yang boleh memberi satu impak yang positif terhadap pemain ataupun penggemar e-sukan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Juh Randau terbitan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), di sini pada Selasa.
Berlangsung selama tiga hari dari 13 hingga 15 November ini di Sarawak Sports Village, Kuching, SAREX 2026 menyasarkan penyertaan kira-kira 800 peserta, termasuk pemain dari luar Sarawak dan pasukan antarabangsa.
Antara pengisian utama ialah pertandingan PUBG Mobile, Mobile Legends bagi kategori lelaki dan wanita, Racing Simulator, Tekken 8 serta e-Football Mobile yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM50,000.
Selain pertandingan, ekspo itu turut menyediakan bengkel pensijilan kru e-sukan diketuai Dr Yew Weng Kean, pemenang pingat emas e-sukan pertama Malaysia pada Sukan SEA 2019 di Filipina.
Bengkel berkenaan memberi pendedahan kepada peserta untuk menceburi bidang seperti pegawai teknikal pertandingan, jurulatih bertauliah dan penyiar sukan elektronik.
Program itu turut menampilkan perkongsian daripada wakil International Esports Federation dan Russian Esports Federation bagi memberi pendedahan mengenai perkembangan serta pengalaman industri e-sukan di peringkat antarabangsa.
Afiq berkata, pembangunan kemahiran dan tenaga kerja tempatan penting bagi menyokong penganjuran acara e-sukan bertaraf antarabangsa, khususnya menjelang Sukan SEA 2027 yang akan berlangsung di Kuching.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan golongan belia, ibu bapa dan guru hadir ke SAREX 2026 untuk memahami potensi industri berkenaan, selain mendapatkan pendedahan mengenai permainan sihat, keselamatan siber dan isu buli siber. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Mia Amira Jalil
Foto: Shahril Haqim