13 Projek Bernilai RM2.75 Juta Perkukuh Infrastruktur Tiga Kampung Di Kedup
SERIAN: Sebanyak 13 projek pembangunan bernilai RM2.75 juta dilaksanakan di Kampung Meboi, Kampung Junggu Mawang dan Kampung Batu Kudi sepanjang 2022 hingga 2026 bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur serta kesejahteraan penduduk di kawasan Kedup.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben berkata, pembangunan infrastruktur kekal menjadi keutamaan kerajaan negeri bagi memastikan masyarakat luar bandar turut menikmati kemudahan asas yang lebih baik.
Menurutnya, antara projek utama ialah pemasangan lampu jalan dari Kampung Meboi hingga Kampung Batu Kudi yang melibatkan peruntukan RM1 juta bagi meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna, khususnya pada waktu malam.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek-Projek Siap di kawasan Kedup yang disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, di sini pada Selasa.
Katanya, projek berkenaan dibiayai menerusi beberapa sumber peruntukan kerajaan termasuk Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA).
Beliau menjelaskan, pembangunan kemudahan asas amat penting di Kedup kerana sebahagian besar penduduk bergantung kepada sektor pertanian, khususnya kegiatan pekebun kecil kelapa sawit dan penternakan sebagai sumber pendapatan keluarga.
Kawasan Kedup merangkumi 68 kampung, termasuk 22 kampung masyarakat Iban, yang memerlukan pembangunan secara menyeluruh bagi memastikan penduduk mendapat akses kepada kemudahan asas yang lebih baik.
Dalam tempoh empat hingga lima tahun lalu, sebanyak 16 projek pembangunan lain turut dilaksanakan menerusi peruntukan Dewan Undangan Negeri (DUN), RTP, MRP, GKCDA, Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) dan Program Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM3.1 juta.
Pelaksanaan projek-projek itu turut melibatkan kerjasama agensi teknikal seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) serta Majlis Daerah Serian (MDS).
Datuk Martin memberi jaminan keperluan pembangunan di kesemua 68 kampung di kawasan Kedup akan terus diberi perhatian, khususnya berkaitan kemudahan jalan raya, bekalan air bersih, elektrik dan kemudahan awam termasuk dewan.
Hadir sama, Ahli Parlimen Serian, Dato Sri Richard Riot Jaem. -EDISI UKAS