Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Terima Kunjungan Hormat Menteri Kesihatan
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat daripada Menteri Kesihatan Datuk Seri Dzulkefly Ahmad di kediaman rasmi beliau di sini, pada Jumaat.
Kunjungan tersebut bertujuan menyampaikan perkembangan terkini mengenai inisiatif utama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), khususnya berkaitan usaha memperkukuh pembangunan dan pemerkasaan sistem kesihatan di Sarawak.
Dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira satu jam itu, kedua-dua pihak telah bertukar pandangan mengenai pelbagai perkara berkaitan sektor kesihatan, termasuk keperluan memperkukuh infrastruktur perubatan serta pengukuhan kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak.
Perbincangan turut menyentuh usaha berterusan dalam mempertingkat penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat, khususnya melalui penambahbaikan kemudahan sedia ada serta peluasan akses perkhidmatan kesihatan di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Selain itu, penekanan turut diberikan terhadap kepentingan penerapan teknologi dan pendekatan baharu dalam sistem kesihatan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan serta kualiti rawatan.
Turut hadir semasa kunjungan hormat itu ialah Timbalan Menteri Kesihatan Dato Hanifah Hajar Taib, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Dato' Indera Dr Nor Azimi Yunus, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Dr Ismuni Bohari dan Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Dr Veronica Lugah.-EDISI UKAS