245 Murid Tahun Satu Di Pantai Damai Terima Sokongan Awal Persekolahan
KUCHING: Seramai 245 orang murid Tahun Satu dari tiga buah sekolah rendah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai menerima sokongan khas ‘Pek Kembali Ke Sekolah 2026’.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, berkata inisiatif ini amat penting bagi memastikan murid-murid yang baru melangkah ke alam persekolahan dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah dalam suasana yang selesa, selamat dan menggembirakan.
Katanya, inisiatif ini selari dengan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia yang memperkenalkan minggu pertama persekolahan sebagai fasa penyesuaian dan adaptasi, khususnya kepada murid Tahun Satu.
“Pengalaman awal di sekolah amat mempengaruhi minat dan kehadiran murid dan jika mereka berasa selesa dan disokong sejak hari pertama, ia akan membantu mengurangkan rasa takut, seterusnya mengelakkan masalah ponteng sekolah,” ujar beliau semasa berucap dalam majlis penyerahan tersebut, di sini, pada Jumaat.
Program berkenaan melibatkan 110 pelajar Tahun Satu dari Sekolah Kebangsaan (SK) Matu Baru, 71 orang pelajar dari SK Rampangi dan 64 orang pelajar dari SK Telaga Air.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai turut menzahirkan penghargaan kepada pihak sekolah, guru-guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), komuniti setempat serta penaja yang telah bekerjasama menjayakan program berkenaan, termasuk penyediaan makanan dan minuman untuk murid-murid.
Tambah beliau lagi, kehadiran murid ke sekolah secara konsisten amat penting bagi memastikan mereka tidak tercicir dalam pelajaran, di samping membina keyakinan diri dan asas akademik yang kukuh sejak peringkat awal.
“Pendidikan adalah aset paling berharga untuk masa depan anak-anak. Ia merupakan tanggungjawab bersama semua pihak untuk membimbing dan menyokong mereka dari Tahun Satu hingga Tahun Enam agar kelak berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” jelasnya lagi.
Difahamkan, majlis ini telah dianjurkan oleh Pusat Khidmat ADUN Pantai Damai dengan kerjasama Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) serta Ronald McDonald House Charities Malaysia, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan membantu kebajikan dan kesejahteraan pendidikan anak-anak di kawasan berkenaan.