Penjawat Awam Diseru Perkukuh Semangat Kerja Sepasukan
MUKAH: Penjawat awam diseru agar terus memperkukuh semangat kerja sepasukan tanpa mengira pangkat, jawatan, kaum atau latar belakang bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, kerjasama erat antara semua peringkat pegawai dan kakitangan merupakan elemen penting dalam memastikan setiap tugasan dapat dilaksanakan secara tersusun, cekap dan berkesan.
"Momentum kerjasama yang telah dibina perlu diteruskan dan diperkasakan bagi menjamin kelancaran pentadbiran serta mencapai matlamat perkhidmatan berorientasikan rakyat," katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Mukah, pada Jumaat.
Menurutnya, semangat kerja berpasukan yang kukuh bukan sahaja mampu mewujudkan persekitaran kerja yang harmoni, malah dapat meningkatkan tahap profesionalisme serta kecekapan perkhidmatan awam secara keseluruhan.
Datuk Amar Mohamad Abu Bakar turut merakamkan penghargaan kepada semua penjawat awam yang terus menunjukkan komitmen tinggi dalam melaksanakan amanah, termasuk mereka yang sanggup berkhidmat jauh dari keluarga demi tanggungjawab tugas.
Dalam pada itu, beliau berharap agar semua pegawai terus memberikan perkhidmatan yang cemerlang, berintegriti dan berkualiti tinggi demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan Sarawak.
Hadir sama, Residen Mukah Datu Kueh Lei Poh, Timbalan Residen Bahagian Mukah Shafrie Saili dan Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip.- EDISI UKAS