30 Terima Peruntukan RM496,000 Di Kapit, Bantu Kebajikan Rakyat
KAPIT: Sebanyak RM496,000 telah disalurkan kepada 30 orang penerima sebagai manifestasi keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat setempat menerusi Majlis Penyerahan Cek anjuran Pusat Khidmat Parlimen Kapit yang diadakan di Hotel Meligai, pada Jumaat.
Majlis penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya Malaysia merangkap Ahli Parlimen Kapit, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi bersama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram, Datuk Jefferson Jamit Unyat.
Berucap pada majlis berkenaan, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi menzahirkan komitmen berterusan Pusat Khidmat Parlimen Kapit dalam membantu masyarakat setempat melalui penyaluran sumbangan yang bersasar serta berlandaskan keperluan kebajikan rakyat.
Beliau turut menekankan bahawa aspek ketelusan dan kebertanggungjawaban perlu sentiasa diberi keutamaan bagi memastikan setiap dana yang disalurkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan memberi impak positif kepada penerima.
Sementara itu, Datuk Jefferson memaklumkan bahawa penyaluran sumbangan tersebut mengambil kira keperluan sebenar setiap penerima, justeru jumlah cek yang diterima adalah berbeza mengikut permohonan dan tujuan penggunaan.
Menurut beliau, hebahan berkaitan penerimaan sumbangan ini perlu dilaksanakan secara berhemah agar manfaat bantuan dapat dimaklumkan kepada komuniti dan persatuan terlibat, selain memastikan pengurusan dana dilakukan secara telus dan bertanggungjawab.
Beliau turut menegaskan kepentingan setiap penerima merekodkan penggunaan dana secara teratur bagi tujuan dokumentasi dan rujukan pada masa hadapan, selaras dengan prinsip akauntabiliti dalam pengurusan bantuan awam.
Turut hadir ialah Setiausaha Politik kepada Menteri Kerja Raya Malaysia Ambrose Abong Bugek, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Watson Awan Jalai, Pegawai Daerah Kapit Thomas Geoffrey Kendawang, Pembantu Khas kepada Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi Datuk Alvin Runggah, serta para penerima sumbangan.
Majlis ini mencerminkan usaha berterusan Pusat Khidmat Parlimen Kapit dalam memperkukuh kebajikan masyarakat setempat menerusi pengurusan bantuan yang telus, berfokus dan berakauntabiliti. - EDISI UKAS