MPKS Lakukan Kunjungan Hormat Kepada Konsulat Jeneral Republik China di Kuching
KOTA SAMARAHAN: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) telah mengadakan kunjungan hormat ke Konsulat Jeneral Republik China di Kuching sebagai langkah memperkukuh hubungan serta meneroka potensi kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.
Kunjungan tersebut diketuai oleh Pengerusi Perbandaran Majlis Perbandaran Kota Samarahan, Abang Ismawi Abang Ali bersama barisan kepimpinan MPKS dan disambut mesra oleh pihak Konsulat Jeneral China.
Menurut MPKS, kunjungan ini bertujuan membincangkan cadangan lawatan rasmi MPKS ke Kunming, China yang dijadualkan pada April 2026 bagi meneruskan jalinan kerjasama susulan pemeteraian Surat Niat antara kedua-dua pihak pada tahun 2024.
Pihak Konsulat Jeneral China menyambut baik hasrat tersebut dan menyatakan komitmen untuk memperkukuh hubungan kerjasama, khususnya dalam bidang pertukaran budaya, ekonomi dan pembangunan bandar.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak turut membincangkan potensi kerjasama dalam mempromosikan budaya serta makanan tradisional Kunming untuk diketengahkan dalam penganjuran ‘Samarahan Food & Cultural Festival’, sekali gus memperkaya kepelbagaian budaya dan menarik minat pelancong tempatan serta antarabangsa.
Selain itu, perbincangan turut menyentuh aspek pembangunan dan pengurusan bandar mampan, termasuk perkongsian pengalaman, amalan terbaik serta pendekatan inovatif yang boleh dimanfaatkan bersama antara Sarawak dan China secara keseluruhan.
MPKS melihat perkongsian ilmu dan maklumat ini sebagai platform penting dalam memperkukuh keupayaan pengurusan bandar, selari dengan aspirasi menjadikan Kota Samarahan sebagai bandar berdaya huni, mampan dan berdaya saing.
Turut hadir dalam kunjungan hormat tersebut ialah Timbalan Pengerusi Perbandaran MPKS Daily Joseph, Setiausaha Perbandaran MPKS, Gustian Durani serta Ahli-ahli Majlis MPKS. -EDISI UKAS