562 Pelajar DUN Satok Terima Sumbangan Barangan Sekolah
KUCHING: Seramai 562 pelajar dari sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok menerima sumbangan barangan keperluan sekolah menerusi Program Back to School anjuran Kelab Sukan Komuniti (KSK) Satok, sekali gus menyuntik semangat dan motivasi mereka untuk terus cemerlang dalam pelajaran.
Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki berkata, program yang telah dilaksanakan secara konsisten sejak tahun 2014 itu bertujuan membantu meringankan beban keluarga serta memberi galakan awal kepada pelajar sekolah rendah agar lebih bersemangat ke sekolah dan rajin belajar.
“Objektif program ini adalah untuk memberi semangat dan motivasi kepada kanak-kanak darjah satu hingga darjah enam supaya mereka suka pergi ke sekolah, rajin belajar serta pada masa sama membantu meringankan sedikit beban keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Penyerahan Sumbangan Barangan Keperluan Pelajar Sekolah Kawasan DUN Satok yang berlangsung di Perkarangan Masjid Darul Aqsa, Kampung Segedup, pada Sabtu.
Menurut Datuk Ibrahim, sejak pelaksanaannya, program tersebut telah memberi impak positif apabila terdapat pelajar yang berjaya mencapai kecemerlangan akademik, sekali gus membuktikan kepentingan sokongan berterusan terhadap pendidikan anak-anak sejak peringkat awal.
Tambah beliau, pendidikan merupakan asas penting dalam pembangunan modal insan sejajar dengan dasar Kerajaan Sarawak yang memberi penekanan kepada bidang strategik seperti sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
“Untuk kekal berdaya saing pada masa hadapan, Sarawak memerlukan lebih ramai generasi muda yang cemerlang dan berkemahiran tinggi agar mampu menyumbang kepada pembangunan negeri,” ujarnya.
Dalam program kali ini, sumbangan berupa beg sekolah dan peralatan alat tulis diagihkan kepada pelajar dari enam buah sekolah dan kawasan, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Merpati Jepang (75 pelajar), SK Combined (184), Kampung Segedup (105), Kampung Sungai Maong (94), Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua No.4 Kuching (65) dan SK Rakyat (39).-EDISI UKAS