Lima Jalan Pertanian GKCDA Pacu Produktiviti dan Pendapatan Petani DUN Opar
LUNDU: Pembangunan infrastruktur luar bandar terus diperkasa apabila lima projek pembinaan dan naik taraf jalan pertanian bernilai lebih RM3.5 juta dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, projek berimpak tinggi di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) itu memberi tumpuan kepada penambahbaikan jaringan jalan pertanian bagi memudahkan akses ke kawasan ladang dan kebun penduduk luar bandar.
Ia sekali gus dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan produktiviti pertanian dan pendapatan penduduk setempat.
Menurut beliau, projek yang dilaksanakan melibatkan kerja menaik taraf jalan pertanian di Kampung Keranji, Kampung Semapu, Kampung Judin dan Kampung Temaga Dayak, selain pembinaan baharu jalan pertanian menuju ke Batu Wangkang di Kampung Pasir Tengah.
“Penyediaan jalan pertanian yang lebih baik bukan sahaja memudahkan pergerakan hasil pertanian, malah mengurangkan kos operasi petani serta membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti setempat,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan tapak projek di Lundu.
Beliau menjelaskan, Projek Menaik Taraf Jalan Pertanian Kampung Keranji melibatkan peruntukan sebanyak RM1.5 juta, manakala projek di Kampung Semapu, Kampung Judin dan Kampung Temaga Dayak masing-masing bernilai RM600,000.
Sementara itu, pembinaan baharu jalan pertanian ke Batu Wangkang di Kampung Pasir Tengah diperuntukkan RM250,000.
Majlis penyerahan tapak tersebut turut dihadiri Pegawai Tadbir GKCDA Mohd Badrulhisyam Muta’ee, wakil Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Kuching Samarahan Hallizza Asli serta Pemanca Allen Manium Enggang.
Billy menegaskan komitmen berterusan pihaknya untuk memastikan semua projek dilaksanakan mengikut spesifikasi dan disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan demi manfaat jangka panjang penduduk luar bandar.
“Apabila infrastruktur asas diperkukuh, sektor pertanian dapat berkembang dengan lebih mampan, seterusnya meningkatkan kesejahteraan rakyat di DUN Opar,” ujarnya. — EDISI UKAS