Kerosakan Kabel Bawah Tanah: SESCO Perkukuh Kesedaran Keselamatan
KUCHING: Syarikat SESCO Berhad merekodkan sebanyak 48 kes kerosakan kabel bawah tanah setakat tahun ini, yang dikenal pasti berpunca daripada kerja-kerja pembinaan Projek Kuching Urban Transportation (KUT).
Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat SESCO Berhad, Lau Kim Swee, berkata insiden berkenaan bukan sahaja mengakibatkan gangguan bekalan elektrik kepada pengguna, malah turut menimbulkan risiko keselamatan serius kepada petugas teknikal yang menjalankan kerja pembaikan di lapangan.
Menurut beliau, kerosakan kabel bawah tanah lazimnya menyebabkan bekalan elektrik terputus secara tiba-tiba, sekali gus menjejaskan aktiviti harian orang ramai dan operasi perniagaan di kawasan terlibat.
“Apabila kabel bawah tanah rosak, gangguan bekalan elektrik pasti berlaku dan ini menyusahkan pengguna. Dalam masa yang sama, keadaan tersebut turut membahayakan keselamatan operator kami yang terpaksa bekerja dalam situasi berisiko tinggi,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Malam Apresiasi Media Sarawak Energy di salah sebuah hotel terkemuka di Kuching pada Jumaat.
Sehubungan itu, Lau menegaskan semua pihak yang terlibat dalam kerja-kerja pengorekan dan pembinaan supaya lebih berhati-hati dan berdisiplin, khususnya apabila menjalankan kerja berhampiran laluan kabel elektrik milik SESCO.
Beliau berkata, SESCO secara konsisten menjalankan hebahan dan peringatan kepada kontraktor agar menghubungi pihak syarikat terlebih dahulu sebelum memulakan sebarang kerja pengorekan, melalui inisiatif ‘Call Before You Dig’.
“Apabila kontraktor menghubungi kami, SESCO akan segera menghantar pasukan teknikal ke tapak projek bagi mengenal pasti laluan kabel sedia ada dan memberikan panduan yang diperlukan,” jelasnya.
Tambah beliau, keperluan tersebut bukan hanya terpakai kepada projek berskala besar seperti ART atau KUT, sebaliknya melibatkan semua projek pembinaan, tanpa mengira saiz atau lokasi.
“Mana-mana pihak yang ingin menjalankan kerja pembinaan perlu mendapatkan pengesahan daripada SESCO terlebih dahulu supaya kami dapat membantu mengenal pasti laluan kabel dan seterusnya mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini,” ujarnya.
Turut hadir Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Dato’ Ir. James Ung serta Naib Presiden Kanan, Perkhidmatan Korporat, Siti Aisah Adenan. -EDISI UKAS