Kerjasama Agensi Berkaitan Diperlukan Tangani Risiko Tanah Runtuh Di Meradong
MERADONG: Satu lawatan tapak telah diadakan bagi meninjau kejadian tanah runtuh yang berlaku di Rumah Dipa, Sungai Lemayong, melibatkan kerjasama Agensi Bencana Daerah Meradong, pagi tadi.
Lawatan tersebut diketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing itu bertujuan melihat sendiri keadaan semasa di lokasi kejadian serta menilai tahap risiko yang dihadapi oleh penduduk terjejas.
Lawatan berkenaan diadakan bagi mendapatkan maklumat terperinci di lapangan selain membincangkan langkah-langkah susulan yang perlu diambil bagi menjamin keselamatan penduduk, khususnya berdepan risiko kejadian berulang ketika musim hujan.
Semasa lawatan, Datuk Ding telah diberikan taklimat berkaitan punca kejadian tanah runtuh, tahap kerosakan yang berlaku serta risiko berterusan akibat keadaan cerun yang tidak stabil.
Menurut beliau, keselamatan penduduk setempat merupakan keutamaan dan tindakan segera perlu diambil bagi mengurangkan risiko bencana berulang.
Dalam hal ini, beliau menegaskan kepentingan kerjasama erat antara semua agensi berkaitan dalam merangka penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang, termasuk pelaksanaan langkah mitigasi yang bersesuaian.
Sementara itu, Agensi Bencana Daerah Meradong akan menyediakan laporan terperinci hasil lawatan tapak bagi tujuan penilaian lanjut dan tindakan susulan.
Antara langkah yang akan dipertimbangkan termasuk pemantauan berterusan kawasan berisiko, cadangan kerja penstabilan cerun serta penyediaan bantuan kebajikan kepada penduduk terlibat sekiranya diperlukan.
Turut hadir dalam lawatan tapak tersebut ialah wakil Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sarikei Wong Soon Mee, Ketua Polis Daerah Meradong DSP Tansli Mering, wakil Pejabat Daerah Meradong serta pegawai-pegawai daripada Agensi Bencana Daerah Meradong. - EDISI UKAS