Sarawak Perintis Tabika Autisme KEMAS, 24 Pusat Tunas Istimewa Dibuka Menjelang 2027
KOTA SAMARAHAN: Sarawak terus melakar sejarah dalam memperkasa pendidikan inklusif apabila Tabika Tunas Istimewa KEMAS Kampung Tanjung Bundong Fasa 3, Kota Samarahan menjadi Tabika Tunas Istimewa KEMAS pertama di negeri ini yang diwujudkan khusus bagi kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) autisme.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, penubuhan tabika tersebut amat signifikan berikutan peningkatan bilangan kanak-kanak autisme serta keperluan mendesak terhadap pendidikan awal yang bersesuaian, selamat dan inklusif.
Menurut beliau, inisiatif Tabika Tunas Istimewa KEMAS bukan sahaja membuka peluang pendidikan awal yang lebih terancang dan berkualiti kepada anak-anak istimewa, malah membantu ibu bapa serta pendidik menyediakan persekitaran pembelajaran yang selari dengan keperluan perkembangan kanak-kanak autisme.
“Pendidikan awal yang tepat adalah asas penting dalam membentuk potensi anak-anak autisme.
"Tabika ini menjadi ruang selamat dan kondusif untuk mereka berkembang secara menyeluruh,” katanya semasa lawatan ke tabika berkenaan, pada Jumaat.
Datuk Rubiah turut memaklumkan bahawa sebanyak 24 buah Tabika Tunas Istimewa KEMAS akan dibuka di seluruh Sarawak menjelang tahun 2027, melibatkan kesemua daerah di negeri ini menerusi pendekatan satu daerah satu Tabika Tunas Istimewa.
Langkah tersebut jelas mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam memastikan akses pendidikan awal yang saksama, sekali gus memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan pendidikan negara.
Dalam lawatan tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan pekakasan sebagai bantuan awal kepada pihak tabika bagi menyokong keperluan pembelajaran kanak-kanak istimewa.
Ia turut disertai Pengarah KEMAS Sarawak Anisah Saidin, Timbalan Pengarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak KEMAS Sarawak Roselind Wilson Laing serta Pegawai KEMAS Bahagian Samarahan Muhammad Asyraf Mat Md Nor. -EDISI UKAS