Projek Naik Taraf Jalan Kuarters Polis, Cat Semula Bangunan IPD Meradong Siap Lebih Awal
MERADONG: Kerja-kerja menaik taraf jalan di kawasan kuarters Polis serta mengecat semula Bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong telah siap sepenuhnya lebih awal daripada jadual ditetapkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing berkata, projek berkenaan penting bagi memastikan kebajikan anggota keselamatan terus terpelihara serta menyokong kecekapan operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kemudahan infrastruktur yang baik bukan sahaja meningkatkan keselesaan, malah turut menyokong kecekapan perkhidmatan dan operasi PDRM dalam menjaga keselamatan serta kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya semasa upacara ringkas penyerahan tapak itu pada Jumaat.
Datuk Ding turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat atas komitmen dan kerjasama yang diberikan sehingga projek dapat disiapkan dengan lancar serta mengikut spesifikasi ditetapkan.
Projek bernilai RM120,000 itu merupakan inisiatif di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Meradong yang bermula pada 26 November 2025 dan siap hari ini, lebih awal daripada jadual asal yang ditetapkan pada 25 Mei 2026.
Skop kerja merangkumi naik taraf jalan di kawasan Kuarters Polis serta kerja-kerja mengecat semula Bangunan IPD Meradong bagi mewujudkan persekitaran kerja dan kediaman yang lebih selesa, selamat dan kondusif.
Turut hadir ialah Ketua Polis Daerah Meradong DSP Tansli Mering, Wakil Pejabat Daerah Meradong Hana Safiya, Penolong Jurutera DID Sarikei Aneves Lang dan Pemanca Yii Hee Sieng.-EDISI UKAS