Perancangan Penempatan Perlu Keutamaan Elak Risiko Bencana – Dr Rundi
BINTULU: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), khususnya tuai rumah, perlu memberi keutamaan terhadap aspek perancangan penempatan dengan memastikan status tanah serta kesesuaian lokasi dikenal pasti sebelum sebarang pembinaan rumah panjang dilaksanakan bagi mengelakkan risiko bencana dan isu keselamatan pada masa hadapan.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, pembinaan rumah tanpa perancangan rapi, terutama di kawasan berhampiran sungai dan tebing rendah, boleh mendedahkan penduduk kepada ancaman banjir serta kejadian tidak diingini.
Menurut beliau, setiap cadangan pembinaan rumah hendaklah dirujuk kepada Pejabat Daerah bagi memastikan status tanah serta kesesuaian kawasan sebelum sebarang kerja pembinaan dijalankan.
“Perkara ini amat penting kerana kita tidak mahu rumah dibina di kawasan berisiko yang akhirnya mendatangkan masalah kepada penduduk sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan cek peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemena yang berlangsung di Jabatan Pertanian Bahagian Bintulu, pada Jumaat.
Dato Sri Dr Stephen Rundi turut menekankan kepentingan kerjasama komuniti serta pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) sebagai langkah mengurangkan kesan bencana yang dilihat semakin kerap berlaku kebelakangan ini.
“Pendekatan yang tersusun serta perubahan minda masyarakat amat diperlukan, khususnya dalam membuat keputusan berkaitan penempatan dan pembinaan rumah,” tambahnya.
Pada majlis berkenaan, seramai 20 penerima menerima peruntukan berjumlah RM352,000 di bawah Projek Kecil Luar Bandar (MRP) fasa terakhir bagi tahun 2025 untuk kawasan DUN Kemena.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu merangkap Residen Bahagian Bintulu Datu Nyurak Keti, Pegawai Daerah Sebauh Thaddeus Ling serta Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Collin Patan. - EDISI UKAS