Sistem Peparitan Baharu Tingkat Keselamatan Penduduk Rumah Panjang Empin, Skim B Meradong
MERADONG: Penduduk Rumah Panjang Empin Baong, Skim B Meradong kini menikmati sistem peparitan yang lebih baik susulan siapnya projek pembinaan baharu bernilai RM50,000 bagi meningkatkan sistem saliran dan mengurangkan risiko banjir di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing telah menyaksikan upacara ringkas penyerahan tapak projek di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong berkenaan pada Jumaat.
Projek yang bermula pada 26 November 2025 itu dijadualkan siap pada 25 Mei 2026, namun berjaya disiapkan lebih awal hasil kerjasama semua pihak terlibat.
Menurut Datuk Ding, pelaksanaan projek infrastruktur asas seperti sistem peparitan amat penting dalam menjaga kebajikan serta kesejahteraan rakyat luar bandar.
“Kerajaan sentiasa komited dalam menyalurkan peruntukan dan melaksanakan projek pembangunan yang memberi impak langsung kepada kehidupan seharian masyarakat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kontraktor, agensi pelaksana serta penduduk Rumah Panjang Empin Baong atas kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh pelaksanaan projek sehingga ia dapat disiapkan dengan lancar dan mengikut spesifikasi yang ditetapkan.-EDISI UKAS