Bangunan Baharu SK Ulu Binatang Tingkat Kualiti PdPc
MERADONG: Pembinaan bangunan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Binatang yang telah siap sepenuhnya memberi nafas baharu kepada persekitaran pembelajaran sekolah tersebut, sekali gus meningkatkan kualiti pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) di kawasan luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing, berkata pembinaan bangunan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa kemudahan pendidikan demi kebajikan murid.
“Bangunan sekolah lama yang uzur dan tidak memenuhi piawaian telah digantikan sepenuhnya dengan bangunan baharu menggunakan Kaedah Sistem Binaan Berindustri atau Industrialised Building System (IBS), sekali gus mengatasi isu perkongsian ruang kelas dan kemudahan tidak sesuai yang menjejaskan pelaksanaan PdPc sebelum ini” katanya semasa majlis penyerahan projek sekolah tersebut pada Jumaat.
Datuk Ding memaklumkan, di bawah projek ini, SK Ulu Binatang menerima enam blok bilik darjah, satu blok bilik sains, satu blok tandas serta blok rumah pam dan menara tangki air, dengan kos keseluruhan RM3,286,637.28.
Beliau berharap pihak sekolah dapat memanfaatkan dan menjaga kemudahan yang disediakan serta terus bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor bagi memastikan penyelenggaraan dilaksanakan dengan baik.
Majlis tersebut turut menyaksikan Datuk Ding mengumumkan sumbangan tiga unit televisyen pintar kepada SK Ulu Binatang bagi menyokong pengajaran dan pembelajaran harian guru.-EDISI UKAS