140 Asnaf di Jemoreng Terima Sumbangan Bakul Makanan
JEMORENG: Seramai 140 golongan asnaf di kawasan Jemoreng menerima sumbangan bakul makanan menerusi program kebajikan anjuran Pusat Khidmat Parti Pesaka Bumiputera (PBB) Jemoreng, pada Jumaat.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng Dato’ Murshid Diraja Dr. Juanda Jaya.
Program berkenaan merupakan inisiatif berterusan Pusat Khidmat DUN Jemoreng dalam membantu meringankan beban golongan kurang berkemampuan, khususnya mereka yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.
Selain mengurangkan tekanan ekonomi isi rumah, pelaksanaan program ini turut mencerminkan keprihatinan kepimpinan setempat dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian, di samping memperkukuh hubungan antara pemimpin dan masyarakat.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Matu Hamidah Halpi.-EDISI UKAS