KMKK Disaran Salur Aduan Banjir Melalui Pusat Operasi Daerah – Datu Nyurak
BINTULU: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) disaran menyalurkan semua aduan serta isu berkaitan banjir melalui pusat operasi bencana di peringkat daerah bagi memastikan penyelarasan tindakan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu, Datu Nyurak Keti berkata, setiap laporan perlu dikemukakan kepada urusetia Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah.
Beliau yang juga Residen Bahagian Bintulu menegaskan bahawa tuai rumah dan ketua kaum tidak seharusnya bertindak secara bersendirian dalam menangani isu bencana.
“Segala aduan dan permasalahan perlu disalurkan melalui pusat operasi daerah supaya tindakan susulan dapat diselaraskan dengan pantas dan teratur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis penyerahan cek peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemena yang diadakan di Jabatan Pertanian Bahagian Bintulu, pada Jumaat.
Menurut Datu Nyurak, antara kesan banjir yang dikenal pasti termasuk rumah penduduk ditenggelami air, jalan raya dinaiki air serta kejadian tanah runtuh yang menyebabkan beberapa laluan terpaksa ditutup.
“Antara laluan yang terjejas teruk ialah Jalan Ulu Sebauh, Jalan ke Sebauh, Jalan Ulu Binyu, Ulu Tubau serta beberapa laluan lain sehingga hubungan terputus,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan penduduk agar mematuhi arahan penutupan bekalan elektrik oleh pihak utiliti semasa banjir bagi mengelakkan risiko renjatan elektrik.
“Penutupan bekalan elektrik dilaksanakan demi keselamatan penduduk. Elakkan menyentuh atau menghidupkan sumber elektrik ketika kawasan masih banjir,” katanya.
Mengulas lanjut, Datu Nyurak berkata banjir turut mengakibatkan kerosakan terhadap tanaman dan ternakan penduduk, justeru semua kerosakan perlu direkodkan dengan lengkap.
“Premier Sarawak dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menegaskan supaya setiap kerosakan, khususnya melibatkan jalan dan tanah runtuh, direkodkan termasuk mengambil gambar sebagai bukti,” ujarnya.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Pegawai Daerah Sebauh, Thaddeus Ling serta Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Collin Patan. -EDISI UKAS