Majlis Tahun Baharu Perkukuh Silaturahim Kepimpinan dan Masyarakat
BALEH: Majlis Sambutan Tahun Baharu 2026 anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Baleh menjadi wadah memperkukuh silaturahim serta kerjasama antara wakil rakyat, kepimpinan tempatan dan agensi kerajaan di kawasan Baleh dan Pelagus.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh Nicholas Kudi Jantai semasa berucap dalam majlis tersebut pada Khamis menyifatkan majlis berkenaan sebagai kesinambungan tradisi sambutan Tahun Baharu yang berperanan mengeratkan kebersamaan dan semangat kekitaan dalam kalangan masyarakat.
Beliau menegaskan kepentingan memanfaatkan platform tersebut bagi memperkukuh kerjasama antara kawasan DUN Baleh dan DUN Pelagus ke arah pembangunan dan kesejahteraan masyarakat.
Sementara itu, ADUN Pelagus Wilson Nyabong Ijang berkata, penganjuran majlis tersebut memberi ruang kepada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta ketua-ketua jabatan untuk terus mempererat hubungan kerja demi kelancaran pelaksanaan program bersama kerajaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas sokongan dan kerjasama yang diberikan selama ini serta berharap hubungan baik berkenaan dapat diperkukuh sepanjang tahun 2026.
Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Residen Bahagian Kapit Elvis Didit, Timbalan Residen Bahagian Kapit Robert Diman serta Pegawai Daerah Bukit Mabong Jabang Juntan.-EDISI UKAS